Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam
yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang
zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka
berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan
kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah
dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di
Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.
Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding
adik adiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak.
Oleh itu tidaklah mengherankan apabila ibunya begitu marah selepas
mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan
menyiksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan
meninggalkan Islam. Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa
takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu membujuk ibunya
memeluk Islam kerana sayang pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai usaha
tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian
ibunya.
Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia
pun menanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan
berhala bahwa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab
meninggalkan Islamnya. Mendengar jawaban ibunya, Mus’ab berkata kepada
ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun,
dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan
meninggalkan Islam sama sekali”.
Mendengar jawaban Mus’ab yang begitu tegas dan berani, ibunya pun
mengusir Mus’ab dari rumah, maka Tinggallah Mus’ab bersama-sama
Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk
meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah
dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia
merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh
sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya
supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan
keimanannya.
Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim
menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat
berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut.
Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering
dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya.
Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata
Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:, “Segala
puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya.
Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah
ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan
itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.
Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk
anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang
bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya.
Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam
tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi
ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12
orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk
mengikat janji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 2). Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.
Sewaktu terjadi peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang
bendera-bendera Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan
kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak
dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah
banyak diutuskan rasul.
Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke
arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam.
Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil
mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah
bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut
dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya
Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai
syuhada’ Uhud.
Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha
mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah
berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al- Rum
tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya.
Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak
ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu
menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran
air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat
masyhur:
"Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya
terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya,
kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup
dengan daun-daun kayu."
Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam
mempertahankankebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan
pemuda dakwah yangpertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum
berlakunya hijrah.
Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk
menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang
dilaksanakan oleh Rasulullah.
Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan
aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara
kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan
kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan
serba mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan
kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan
ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat.
Sumber : http://arrahmah.com

Tidak ada komentar:
Posting Komentar